The Flex FM Room

Rancang Kalendar Kerja Walau Di Rumah

   


     Sebagaimana makan gaji, bekerja sendiri juga mempunyai disiplin yang berkaitan. Walaupun anda tidak terikat dengan mana-mana majikan, namun anda masih terikat dengan masa yang akan bergerak. Semuanya terletak di tangan anda untuk menentukan tempoh usaha anda mengeluarkan hasil. Mungkin enam bulan, satu tahun atau beberapa tahun kemudian. Mungkin pada tahun pertama pendapatan kurang lumayan tetapi ia perlu berganda menjelang tahun berikut.
     Tahun pertama anda bekerja sendiri, anda perlu bekerja keras agar segala dalam perancangan berjalan dengan sebaiknya. Anda akan hadapi pelbagai halangan dan cabaran. Sediakan perancangan A, B dan C. Dalam pada itu sebaiknya dalam kalendar anda tetapkan perkara-perkara berikut.

Percutian

     Gunakan masa ini sebagai ganjaran selepas anda penat bekerja. Jika tahun pertama pendapatan anda adalah belum mencapai matlamat, berpada-pada dengan sederhana. Gunakan percutian bersama keluarga dengan menggunakan bajet yang sederhana. Jika anda masih lagi dalam mood mengejar matlamat dan belum sampai lagi ke destinasi, usah berlebihan dalam percutian kerana masih banyak perkara yang belum diselesaikan. Percutian yang bermakna apabila apa yang sudah anda usahakan berjaya dan sudah tercapai dengan apa yang disasarkan.

Masa Kerja

     Jangan lakukan kerja separuh jalan, lakukan sehingga selesai. Itulah ayat inspirasi yang diluahkan daripada salah seorang peserta rancangan The Biggest Loser. Pernahkah kalian melihat program realiti tv ini? Ia memberi inspirasi. Setelah keluar dari kepompong lama tidak berjaya menurunkan berat badan, akhirnya peserta tersebut berjaya melakukannya. Keyakinan bertambah apabila usaha untuk menurunkan berat badan tidak sia-sia. Malah dia kini semakin sihat dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam kehidupan. Begitu juga ketika masa bekerja. Kita tidak akan melakukan perkara yang sia-sia hari ini dengan melakukan kerja hanya separuh jalan. Mulakan dan tamatkan ia. Hasilnya pasti ada.

Rehat

     Masa bekerja anda perlu bekerja. Jika tiba masa rehat itulah waktunya memberi ganjaran kepada tubuh badan agar mampu memulihkan tenaga, minda dan fizikal. Tidur awal dan bangun awal adalah salah satu cara untuk mengembalikan semula tenaga yang hilang.

Bersama Keluarga

     Kualiti bersama keluarga adalah keutamaan. Bekerja sendiri ataupun makan gaji, keluarga adalah perkara yang penting dalam kehidupan. Apa tujuan anda bekerja dan mencari pendapatan? Sudah tentu untuk memberi kebahagiaan dan sara hidup kepada keluarga. Bataskan waktu sibuk dan tentukan masa berkualiti bersama keluarga tersayang.


0 comments:

Join Us!

Pendengar Flex FM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...