The Flex FM Room

10 Tip Rawatan Wajah Untuk Kulit Kombinasi



Kulit kombinasi biasanya berminyak sekitar dahi, hidung dan dagu manakala di bahagian pipi dan mata pula mengalami masalah kering. Bagi anda yang mempunyai kulit kombinasi, pasti sukar membuat keputusan tepat untuk memilih produk mahupun melakukan perawatan wajah.

Jika tersilap langkah, kulit mungkin kering dan mengelupas. Ada kalanya kulit menjadi terlalu berminyak dan wajah ditumbuhi jerawat. Minggu ini kami berkongsi 10 tip untuk mengatasi kulit kombinasi.


Pilih Pembersih Wajah Yang Sesuai
Gunakan pembersih wajah berasaskan air, tekstur gel, minyak atau busa lembut. Elakkan pembersih wajah berbentuk sabun atau berbuku kerana ia mengandungi detergen yang membuatkan kulit semakin kering. Bagi kesan maksimum, anda digalakkan memilih pembersih yang mengandungi kandungan mineral tanah liat, ia dapat menyerap lebihan minyak pada wajah tanpa membuatkan kulit kering.

Guna Penyegar
Selepas membersihkan wajah, disiplinkan diri mengaplikasikan penyegar. Pilih penyegar yang mengandungi antioksidan, berasas air atau gliserin. Ia membuatkan kulit wajah segar dan minyak seimbang. Anda disarankan memilih penyegar khas untuk kulit kombinasi yang tidak mengandungi alkohol.

Pelembap Khas
Sapu pelembap secara konsisten, dua kali sehari terutama dibahagian yang kering iaitu sekitar mata, bibir dan pipi. Namun di kawasan zon T yang berminyak, sapukan krim pelembap secara tipis. Pilih pelembap bertekstur gel atau losen yang mengandungi lebih banyak air untuk melembabkan kulit yang kering tanpa membuatkannya berminyak.

Alas Bedak Yang Tepat
Buat anda yang mempunyai kulit kombinasi, pilih alas bedak jenis matte atau pressed powder yang mengandungi tabir suria minimum SPF 15. Ia membantu mengawal lebihan minyak dan mengelakkan kulit menjadi kering.

Krim Perlindungan Cahaya Matahari
Jika anda tidak menggunakan alas bedak, pakai krim perlindungan cahaya matahari berformula titanium dioxide, zinc oxide atau avobenzone. Kombinasi bahan ini amat sesuai untuk wanita yang mempunyai kulit kombinasi. Produk yang tepat akan membuatkan kulit anda halus, licin, lembap dan tona menjadi sekata.

Bedak Tabur
Agar penampilan tampak natural, gunakan bedak tabur. Ia mudah meresap dan membuatkan kulit licin sekata. Litupannya lebih sempurna dan tidak bercapuk. Namun bagi anda yang menggemari bedak padat, pilih produk yang bebas minyak, noncomedogenic dan hypoallergenic.

Masker Wajah
Masker berasas bahan semulajadi seperti timun, tomato dan lidah buaya amat sesuai untuk anda. Pilih masker berbentuk gel atau clay mask untuk kawasan wajah berminyak (dagu, dahi dan hidung) dan masker krim khusus bahagian wajah yang kering. (pipi, mata dan bibir)


Suplemen
Walaupun menggunakan produk kecantikan, anda digalakkan mengambil suplemen. Produk kecantikan kebanyakan hanya merawat luaran, suplemen pula merawat dalaman. Amalkan suplemen seperti Vitamin A, C, E dan Zink. Suplemen membekal nutrien yang mencukupi untuk tubuh dan menyalurkan khasiat tersebut pada seluruh anggota badan termasuk wajah.

Perawatan Malam
Jangan jadikan letih sebagai alasan mengabaikan penjagaan wajah pada malam hari. Selepas membersihkan wajah, sapukan penyegar diikuti krim malam dan krim mata. Pilih produk krim malam yang mengandungi tretinoin. Ia membantu pertumbuhan sel baru ketika anda tidur. Jenis losen atau gel adalah yang terbaik.


Minum Air Secukupnya
Selepas melengkapkan rejim kecantikan anda, jangan lupa amalkan minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Air yang mencukupi akan membantu wajah tampak segar, berseri dan lembap.

AMBIL PERHATIAN

  1. Elakkan membersihkan wajah terlalu kerap kerana ia akan menyebabkan kulit menjadi kering. Cukup sekadar membersihkan wajah dua kali sehari.
  2. Gunakan tisu khas untuk menyerap lebihan minyak pada wajah.
  3. Jika mampu, lakukan perawatan pengelupasan sebulan sekali di spa.
  4. Jangan sesekali memicit jerawat atau menyentuh wajah dengan tangan kotor. Ia akan menyebabkan jangkitan kuman dan parut.

*Credit: Intan Rohaizat Zakariya

0 comments:

Join Us!

Pendengar Flex FM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...