The Flex FM Room

Awas, Pujian Lelaki Ada Makna Tersirat!!!


Siapa yang tidak suka dipuji? Sering dikaitkan dengan wanita yang kononnya cair dengan pujian si jejaka, golongan lelaki menggunakan peluang tersebut bagi tujuan menggoda. Namun tidak semua lelaki begitu. Adakah anda tahu pujian yang diberikan lelaki terhadap seorang gadis misalnya kadangkala tidak menggambarkan makna dari hati mereka. Berikut antara maksud sebenar pujian lelaki.

Pujian Biasa

  • Ia merupakan pujian yang paling selamat kepada gadis-gadis, terutamanya jika bertemu janji buat kali pertama. Pujian seperti ini sekiranya dilafazkan tidak akan menggambarkan perasaan keterlaluan si jejaka untuk bersungguh menarik perhatian si gadis. Namun di sebalik pujian biasa ini, si gadis pula jangan terperasan kerana selalunya pujian itu adalah tipikal dalam kehidupan seharian. Contoh pujian; "Cantiknya baju awak."
Pujian Romantis
  • Pujian seperti ini selalunya ditiru daripada laman-laman ungkapan cinta mahupun skrip daripada drama romantis. Ungkapan pujian seperti itu secara jujurnya mustahil untuk diluahkan secara spontan melainkan si jejaka sudah menghafalnya terlebih dahulu. Pujian cinta ini dijamin dapat membuatkan gadis-gadis terawang-awang di udara yang pasti menjadi modal perbualan bersama gadis-gadis lain. Namun begitu ada juga jejaka yang sekadar menggunakan teknik pujian ini untuk mencairkan hati gadis-gadis. Contoh pujian, "Awak adalah gadis pertama yang paling cantik dan memikat hati saya."
Pujian Nafsu
  • Pujian ini tercetus daripada nafsu si jejaka saat memerhatikan si gadis. Selalunya pakaian yang menjolok mata sehingga boleh menimbulkan rasa berahi lalu membuatkan mereka dengan selamba mengeluarkan pujian seperti itu. Contoh pujian, "Wah, cantiknya awak hari ini. Kamu kelihatan sangat 'hot'." Percayalah saat lelaki memuji gadis dengan ayat seperti itu mereka sebenarnya telah menatap keseluruhan tubuh badan gadis berkenaan. Mereka akan melihat gadis itu dari atas ke bawah. Jadinya, berhati-hatilah.
Pujian Tidak Bertapis
  • Pujian seperti ini memang wajib dielakkan ketika temujanji pertama kerana secara semulajadinya mereka yang terlalu jujur boleh membuatkan lelaki dituduh sebagai pengganas seksual. Pujian seperti ini selalunya dikaitkan dengan pujian berbentuk seksual terhadap fizikal seseorang wanita itu. Selalunya kita pendam dalam hati sahaja kerana tak berani nak meluahkannya. Contoh pujian, "Wah, besarnya buah dada anda."
Pujian Perangkap
  • Pujian jenis ini maksudnya perlu benar-benar difahami. Ia ada kaitan dengan pujian nafsu dan selalunya si gadis akan dipuji dengan ayat-ayat manis. Bila si gadis dilihat sudah cair dek pujian ayat-ayat manis, lama kelamaan akan timbul ayat berbaur perangkap. Contoh pujian, "Baju ini sangat sesuai untuk awak," sambil menunjukkan baju bertali halus yang menampakkan sebahagian besar bahagian dada. Contoh lain, "Awak sangat cantik kalau tidak bertudung." Jika lelaki melemparkan pujian seperti ini dan mereka sedang berdua-duaan di tempat sunyi, tidak mustahil perkara tidak baik akan berlaku antara mereka. Jadi, si gadis bertindaklah bijaksana.
Pujian Jaga Hati
  • Pujian ini tidak akan berlaku dengan sendirinya kerana selalunya ia terjadi sebagai menjawab pertanyaan si gadis. Contoh pertanyaan si gadis, "Saya ni nampak macam dah gemuklah." Maka saat itu si jejaka akan membalas. "Perasaan awak saja tu. Saya nampak macam biasa."
Pujian Ikhlas
  • Pujian ini memang ikhlas. Setakat mana keikhlasannya, hanya lelaki itu sahaja yang tahu. Pujian ini selalunya tidak dilafazkan secara langsung seperti "Awak kelihatan sangat manis". Ini kerana pujian ini hanya boleh dilihat menerusi gerakan mata dan bibir si lelaki. Agak sukar untuk mengecam lelaki jenis ini kerana dari mata kasar mereka tidak gemar memuji gadis.

0 comments:

Join Us!

Pendengar Flex FM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...